Pemakanan yang seimbang perlu mengandungi kombinasi nutrien yang lengkap untuk keperluan tubuh badan. Cara yang mudah untuk memahami konsep nutrien yang lengkap adalah dengan mengikuti piramid makanan. Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Piramid Makanan Malaysia yang baru versi 2020 yang menggantikan model piramid makanan yang lama pada tahun 2010. Piramid Makanan Malaysia dibentuk sebagai satu panduan kepada masyarakat Malaysia untuk memvariasikan diet harian mereka mengikut jumlah sajian yang disarankan oleh pihak kesihatan. Asasnya, Piramid Makanan Malaysia merangkumi 5 kumpulan makananan utama iaitu bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, sumber daging, ayam dan kekacang serta kumpulan susu dan produk tenusu. Terdapat 4 aras di dalam piramid makanan di mana aras yang paling bawah menggambarkan kumpulan makanan yang perlu diambil dalam kuantiti yang paling banyak. Manakala, kuantiti pengambilan untuk setiap kumpulan tersebut akan semakin berkurang hingga ke aras paling atas. Beberapa perubahan dalam Piramid Makanan Malaysia telah dikemaskini seiring dengan status pemakanan rakyat Malaysia ketika ini. Antaranya adalah;
1. Susunan Karbohidrat dan Sayuran dan Buah-buahan
Pada sebelum ini, sumber karbohidrat seperti nasi, mee, roti, bijirin dan ubian diletakkan di aras yang paling bawah dengan jumlah pengambilan 4-8 sajian sehari iaitu paling banyak antara kumpulan makanan yang lain. Manakala sayur-sayuran dan buah-buahan berada di paras ke dua dari bawah dengan pengambilan 2 sajian sehari untuk buah dan 3 sajian sehari untuk sayur-sayuran. Walaubagaimanapun, versi terkini piramid makanan ini telah mengubah kedudukan sayuran dan buah-buahan ke aras paling bawah dengan sajian yang ditingkatkan kepada minimum 3 sajian untuk sayuran dan 2 sajian buah-buahan. Oleh itu, karbohidrat dinaikkan 1 tingkat dengan pengurangan pengambilan sebanyak 3-5 sajian sahaja sehari. Hal ini berlaku kerana buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sumber vitamin dan mineral yang penting dan kaya dengan serat. Manfaat ini dapat mengurangkan risiko penyakit kronik dalam kalangan masyarakat Malaysia yang kebanyakkannya menghidap penyakit 3 serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
2. Pengurangan Jumlah Pengambilan Karbohidrat
Karbohidrat adalah kumpulan makronutrien yang membantu untuk membekalkan tenaga kepada badan. Contoh makanan karbohidrat ialah nasi, mee, roti, biskut, gandum, kentang dan sebagainya. Pengambilan karbohidrat ini jika berlebihan boleh menyebabkan beberapa penyakit seperti kencing manis atau obesiti. Individu yang mengalami kegemukan berkemungkinan juga berpunca daripada sumber karbohidrat yang banyak dalam badan dan tidak digunakan lalu ia bertukar menjadi lemak. Oleh hal demikian, jumlah pengambilan karbohidrat dititik beratkan dalam Piramid Makanan Malaysia 2020 agar selari dengan tahap kesihatan rakyat Malaysia sekarang. Jika sebelum ini, julat peratus pengambilan karbohidrat ialah 55-75% tetapi ia telah dikurangkan kepada 50-65% pada edisi baru. Bukan itu sahaja, hasil perbincangan juga telah menyarankan pengambilan sumber karbohidrat kompleks dan tinggi serat seperti beras perang, rot, bijirin penuh, oat dan jagung. Jenis karbohidrat seperti ini dapat membantu kawalan paras gula dalam darah dan juga tahap kolesterol dalam badan.
3. Pengambilan Air Kosong 6-8 Gelas Sehari
Jika diletakkan dua rajah piramid baru dan lama bersebelahan, kita dapat lihat kemunculan objek baru dalam rajah baru iaitu segelas air kosong yang berada di sudut tepi piramid makanan. Nampak remeh tetapi pengambilan air kosong yang mencukupi sangat penting untuk mengekalkan hidrasi badan terutamnya pada musim pandemik Covid-19 ini. Bukan itu sahaja, ini juga sebagai galakakkan kepada rakyat Malaysia untuk sentiasa memilih air kosong berbanding air manis apabila menjamu selera. Secara keseluruhannya, konsep Piramid Makanan Malaysia lebih mudah untuk kita amalkan dengan cara mengikuti konsep pinggan sihat Malaysia iaitu suku-suku separuh. Suku terdiri daripada karbohidrat dan protein manakala separuh pinggan itu dipenuhi dengan sayuran dan buah-buahan. Ya, jangan lupa segelas air kosong !
RUJUKAN
Karbohidrat. (2016, March 9). PORTAL MyHEALTH. https://www.myhealth.gov.my/karbohidrat/
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2016, March 15). Piramid Makanan Malaysia. PORTAL MyHEALTH. https://www.myhealth.gov.my/piramid-makanan-malaysia/
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2021, January 28). Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. https://www2.moh.gov.my/index.php/pages/view/2725
Copyright © 2021 DietPax Ventures (NS0245920-X). All Rights Reserved.