Sejarah Daging Harimau Menangis

Sejarah Daging Harimau Menangis

Sejarah Daging Harimau Menangis

Sejak kebelakangan ini menu makanan daging harimau menangis sering diperkatakan dan telah menjadi tren di Malaysia mahupun di negara jiran. Fenomena daging harimau menangis juga telah membuka pintu rezeki apabila ramai orang telah menjadikan jualan perapan dan daging harimau menangis sejuk beku sebagai bisnes sampingan ekoran permintaan yang melonjak naik. Menu ini sebenarnya berasal dari negara Thailand yang dinamakan Sua Rong Hai. Jika ingin menerangkan tentang rasa dan tekstur daging ini sudah pasti ramai yang akan terliur. Daging harimau menangis adalah diambil daripada bahagian daging yang paling lembut iaitu terletak di celah peha lembu dan bahagian daging ini juga dikatakan paling berlemak dan sedap. Daging ini akan dihiris nipis dan diperap dengan resepi tersendiri sebelum dibakar. Resepi asas peperapan biasanya menggunakan sos cili, sos lada hitam, kicap dan bawang. Bagi menaikkan lagi kesedapan juadah ini, ia akan disajikan dengan sos thai dan makan bersama ulam-ulaman dan nasi putih panas.

Bercerita tentang sejarah nama daging harimau menangis ini mungkin ramai tertanya-tanya adakah ia berkaitan dengan harimau atau tiada kena mengena langsung antara dua binatang tersebut ? Menurut cerita mitos tempatan Thailand, rakyat pada zaman dahulu yang memburu akan mencari bangkai lembu yang sudah dimakan oleh harimau. Apa yang terjadi waktu ini ialah mereka membayangkan harimau akan menangis kerana harimau sering membiarkan sahaja bahagian yang paling sedap yang terdapat pada lembu dipotong dan tidak memakannya. Ekoran daripada itu, rakyat ketika itu menggunakan potongan ini untuk memasak hidangan yang lazat dan menamakannya “harimau menangis”. Selain itu, ada juga kisah orang dulu-dulu yang membandingkan bahagian daging tersebut dengan kulit harimau lalu menyebutnya sebagai “daging harimau”. Apabila daging ini dipanggang, lemak yang terkumpul pada serat otot akan cair dan mengalir seperti air mata. Dengan itu, mereka menamakan hidangan itu “harimau menangis”. Jika dikaji lebih mendalam tentang cerita daging harimau menangis, kita akan jumpa pelbagai jenis versi cerita tentang sejarah makanan ini. Tetapi apa yang penting daging harimau menangis sudah pun mendapat tempat oleh ramai masyarakat disebabkan rasa dan tekstur kelembutan daging tersebut yang dinamakan sirloin.

Sirloin atau dipanggil daging harimau menangis merupakan satu bahagian daging yang paling lembut selain daging batang pinang yang sering disebut-sebut. Pada kebiasaannya, harga daging sirloin dijual pada harga yang agak tinggi kerana kelembutan teksturnya. Jika diteliti bagi aspek nutrisinya, bagi setiap 100 gram daging mentah ini, ia mengandungi kalori sebanyak 100 kalori dan proteinnya anggaran 21 gram. Jika dibandingkan kandungan lemaknya dengan tenderloin, daging harimau menangis mempunyai kurang lemak berbanding tenderloin (USDA, 2011). Walaupun ia bunyi seperti menyihatkan, cara masakan sesuatu menu juga memain perananan penting untuk menentukan jenis makanan yang lebih sihat. Jika dagingnnya dimasak secara bakar atau rebus, ia lebih sihat berbanding goreng dengan minyak yang banyak walaupun kandungan lemak asalnya lebih sikit dalam daging tersebut. Oleh itu, setiap individu perlu bijak untuk memilih cara masakan yang lebih sihat untuk menjamin kesihatan yang baik.

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

Adreena, I. (2021, January 14). Explained: What’s ‘Daging Harimau Menangis’ and why are netizens furious with Neelofa’s mom? MSN. https://www.msn.com/en-my/lifestyle/other/explained-what-s-daging-harimau-menangis-and-why-are-netizens-furious-with-neelofa-s-mom/ar-BB1cJQ9S

Faezal, A. (2021, January 14). Mitos Dan Sejarah Disebalik Daging Harimau Menangis. The Patriots. https://www.thepatriots.asia/mitos-dan-sejarah-disebalik-daging-harimau-menangis/

Razali, A. (2020, December 23). 9 Bahagian Daging Lembu Dan mana Yang paling Sihat. Root of Science. https://rootofscience.com/blog/2020/kesihatan/pemakanan/9-bahagian-daging-lembu-dan-mana-yang-paling-sihat/

USDA. (2011, September). USDA Nutrient Data Set for Retail Beef Cuts. ARS Home : USDA ARS. https://www.ars.usda.gov/ARSUserFiles/80400525/data/beef/retail_beef_cuts02.pdf

 

 

 

Copyright © 2021 DietPax Ventures (NS0245920-X). All Rights Reserved.